Tuesday 20 November 2012

Sri Aman a.k.a Simanggang

Sri Aman merupakan bahagian kedua dalam negeri Sarawak. Ia terletak di antara bahagian Kuching dan bahagian Betong. Ia terdiri daripada dua daerah pentadbiran: Sri Aman dan Lubok Antu. Sebelum pengisytiharaan Daerah Betong sebagai sebuah Bahagian yang kesebelas pada 26 Mac 2003, Bahagian Sri Aman mempunyai empat daerah iaitu Daerah Sri Aman, Lubok Antu, Betong dan Saratok serta sembilan daerah Kecil iaitu Daerah Kecil Pantu, Lingga, Maludam, Engkilili, Spaoh, Debak, Pusa, Roban dan Kabong. Pusat Pentadbiran Bahagian ini terletak di Bandar Sri Aman iatu kira-kira 193 km dari Bandaraya Kuching. Bahagian ini meliputi kawasan seluas 6,184 kilometer persegi dan terbahagi kepada dua daerah untuk melicinkan pentadbiran, iaitu di Sri Aman dan Lubok Antu.

 Setelah Betong diisytiharkan sebagai Bahagian baru, bahagian Sri Aman sekarang hanya tinggal dua daerah iaitu Sri Aman dan Lubok Antu dan tiga daerah kecil iaitu Daerah Kecil Pantu, Lingga dan Engkilili. Daerah Sri Aman berkongsi sempadan di sepanjang Banjaran Kelingkang, di bahagian selatan, dengan Kalimantan Indonesia; dan bersempadan dengan Daerah Lubok Antu di bahagian tenggara; Bahagaian Betong di sebelah timur laut. Pesisirannya di utara bersempadan dengan Laut China Selatan dan di barat dengan Daerah Simunjan, Bahagian Samarahan. 

 Sri Aman dalam Sarawak

Sri Aman

Bandar, Daerah dan Bahagian Sri Aman pada asalnya dikenali sebagai “Simanggang”. Nama “Sri Aman” diambil sempena dengan peristiwa bersejarah Deklarasi Sri Aman. Deklarasi ini merupakan satu perjanjian keamanan yang ditandatangani pada 21 Oktober 1973 di antara Kerajaan (Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub) dan komunis. Perjanjian itu menyaksikan perlucutan senjata secara aman parti komunis yang dipimpin oleh Bong Kee Chok (Pemimpin gerakan komunis yang dikenali sebagai Pasukan Rakyat Kalimantan Utara atau ‘PARAKU’).

Rentetan peristiwa perjanjian tersebut, sebuah rumah rehat kerajaan iaitu “Rumah Simanggang” (tempat berlangsungnya peristiwa bersejarah itu) telah dinamakan semula pada 19 Mac 1974 sebagai “Rumah Sri Aman” bagi memperingati hari bersejarah tersebut. Daerah dan bahagian Simanggang juga kemudiannya turut dinamakan “Sri Aman”. Pertukaran nama ini dikuatkuasakan melalui SWK.L.N.42/80 of Part 11 of Sarawak Government Gazette di bawah tajuk Simanggang (Change of Name) Order 1980.


 Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Ya’kub


 Bong Kee Chok






Rumah Sri Aman suatu ketika dahulu

Rumah Sri Aman kini



Menurut cerita, Simanggang mendapat nama kononnya daripada seorang Pedagang Cina yang bernama Ah Song yang menjual barang keperluan menggunakan perahu di persekitaran penempatan Batang Lupar. Penduduk tempatan di situ pula menggunakan bahasa tempatan untuk berkomunikasi di antara satu sama lain. Dengan demikian pedagang Cina ini juga berusaha menggunakan bahasa tempatan setakat yang termampu. Pada suatu hari datanglah seorang Iban dari Batang Ai yang hendak berjumpa dengan Ah Song yang sudah lama tidak berkunjung ke tempat mereka. Lalu bertanyalah seorang Iban tersebut kepada kawan karib Ah Song:

“Dini alai Ah Song” Tanya beliau.
" Udah Si Manggang” jawabnya sambil bergurau.

Dalam bahasa Cina ‘Si’ bermaksud ‘mati’ dan dalam bahasa Iban pula ‘manggang’ (magang) bermaksud ‘semua’. Jadi ‘Si Manggang’ bermaksud sudah ‘mati semua’. Ringkasnya selepas itu apabila mereka hendak berjumpa dengan Ah Song, mereka akan memberitahu bahawa mereka hendak ke tempat yang bernama Simanggang.

Penduduk di Bahagian Sri Aman terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik. Iaitu Iban, Melayu, Bidayuh, Melanau, Bumiputera lain, Cina dan bukan Bumiputera lain .

Pertanian dan perikanan merupakan sektor yang amat penting di bahagian ini kerana bahagian ini tidak mempunyai sumber asli seperti gas, minyak dan sebagainya. Namun begitu sumbangan daripada sektor perhutanan juga kian berkurangan. Oleh itu kegiatan peladangan kelapa sawit, penanaman padi dan perusahaan perikanan darat adalah aktiviti yang amat penting untuk bahagian ini.

Sri Aman juga mempunyai sejarah yang lama bersama penjajahan Brooke (Rajah Putih). Tempat kediaman penjajah ketika itu ialah ‘Kubu Alice’juga dijadikan sebagai benteng pertahanan untuk kawasan sungai Batang Lupar. Sekarang ini bangunan tersebut masih wujud dan pernah menjadi kunjungan orang ramai. Namun begitu keadaan ‘Kubu Alice’ kini terbiar dan tidak diselenggarai.

3 generasi Rajah Putih yang pernah memerintah Sarawak

Sri Aman terkenal dengan buaya legenda “Bujang Senang”nya dan fenomena unik ombak gadang yang digelar BENAK. Pesta BENAK diadakan setiap tahun dengan acara utamanya adalah regata lumba perahu pelbagai kategori pengayuh dan acara-acara sampingan yang lain.



Terima kasih,
Sumber maklumat dan foto:

No comments:

Post a Comment